Bicara dari Nukilan (Minda DrMAZA) - Versi Mahasiswa USM

DILEMA MAHASISWA ~ antara materialisme dan humanisme

Semenjak kita menjejakkan kaki ke alam universiti dari bangku sekolah sudah pasti kita dapat merasakan kelainannya dan seharusnya kita sedar perkara ini. Gelaran mahasiswa sepatutnya memberikan nilai yang berbeza kepada kehidupan kita kerana perjuangan kita sudah berbeza. Perjuangan kita kali ini menuntut pengorbanan, keberanian, konsisten dan yang paling penting memerlukan kepada ilmu kerana mahasiswa itu merupakan seorang pemikul amanah, penuntut ilmu, agen perubahan masyarakat dan penyambung legasi kepimpinan negara. Ya kita-lah orangnya itu, Mahasiswa Universiti Sains Malaysia.

Namun begitu, dukacita dimaklumkan bahawa tidak begitu ramai mahasiswa hari ini seperti yang cuba digambarkan di atas. Kita sudah semakin ‘lembik dan kurus’ dengan budaya keilmuan dek kerana derasnya hempasan ombak hedonisme yang memukul. Tidak dinafikan masih wujud ‘spesies’ yang cintakan ilmu tetapi jika dibandingkan dengan sebilangan besar ‘populasi’ mahasiswa di negara ini, mereka kecundang! Sekiranya kita ialah seorang Muslim kitalah yang seharusnya menjadi ‘spesies’ yang terancam itu. Adakah kita lupa kata-kata Syeikhul Mustafa Masyur menerusi petikannya dalam buku yang bertajuk Jalan Dakwah; “Islam tidak akan redha kepada Muslim yang menyerah secara total kepada realiti sekarang”.

Cakna agama

“…suatu kemajuan, pembangunan, ketinggian dan martabat yang mulia di antara bangsa-bangsa, bagi kita umat Islam tidaklah dapat dicapai kalau tidak berdasar kepada akidah dan akhlak Islam!”. Kata-kata Hamka ini atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah cukup memberikan gambaran kepada kita supaya meletakkan asas kepada suatu tindakan yang dilakukan kepada agama.

Mahasiswa perlu cakna  agama. Namun begitu, perkara yang paling asas  adalah untuk mendefinisikan makna ‘agama’ itu sendiri. Jika agama itu didefinisikan sebagai berselawat beramai-ramai, maulid dan ber- ‘ya hanana” di tengah padang, dan kita berasa bahawa kita telah melakukan ritual keagamaan yang terpuji, maka itu  definisi yang tampak jumud, kaku dan bodoh kepada agama. Bahkan, hakikat agama ini dibina atas ilmu dan segalanya berteraskan ilmu. Ayat pertama al-Quran yang diturunkan sendiri iaitu Surah al-Alaq (ulama berselisih pendapat tentang ayat pertama diturunkan ) menyuruh kita membaca, dan membaca dengan nama Tuhan-Mu yang menciptakan, memberikan mesej bahawa agama menuntut kita untuk berfikir dalam kerangka ilmu.

Islam tidak pernah mendetilkan rupa paras seorang Mahasiswa Islam, sebaliknya hanya memberikan garis panduan umum untuk menjadi seorang muslim sejati. Mahasiswa yang mementingkan agama pastilah akan mementingkan ilmu sebagai kebaikan utama dan melaksanakan keadilan dalam pelbagai bidang di samping perkara-perkara fardu ain tidak ditinggalkan serta kewajipan sebagai pelajar dilaksanakan. Minat dan cakna kepada agama biarlah kepada hakikatnya bukanlah hiasan semata-mata.

Lambakan hiburan

Menurut kajian yang dilakukan oleh  Fakulti Pendidikan UTM menunjukkan bahawa persepsi serta pengaruh rancangan hiburan realiti terhadap gaya hidup mahasiswa adalah rendah. Dari aspek kesesuaian rancangan hiburan realiti Akademi Fantasia (AF) menurut pandangan mereka juga berada pada tahap rendah. Walaupun, kita bersyukur dengan hasil kajian ini yang seolah-olah menggambarkan mahasiswa mampu menapis budaya hedonisme dengan baik, namun adakah perkara ini menjadi ‘lesen besar’ kepada kekerapan persatuan-persatuan di universiti khususnya USM untuk menganjurkan konsert atau pesta? Saya berasa risau kepada lambakan hiburan di USM sendiri dan semoga pihak yang bertanggungjawab dapat membendung perkara ini dengan baik.

Islam itu bukan agama anti-hiburan dan seni. Cuma setiap perkara dalam Islam, ada batasan dan disiplinnya. Hadis Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita”    (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan sikap lunak Nabi s.a.w yang tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah baginda. Nabi s.a.w tidak bersikap keras mengenai hiburan seperti sesetengah mereka yang menggunakan nama agama untuk membenteras hiburan habis-habisan. Bantahan Abu Bakr ditolak oleh Nabi s.a.w secara berhikmah.

Hakikatnya, Islam tidak jumud sehingga menjadikan hidup ini kaku seperti robot dan tidak ada langsung warna-warni kehidupan yang diselang-seli oleh hiburan, tetapi keseronokan itu mestilah dengan kadar yang tidak melampaui batas sehingga boleh menghilangkan matlamat hidup yang sebenar.

Tanggungjawab

Mahasiswa hendaklah sentiasa sedar dan ingat bahawa dia merupakan pemikul amanah yang banyak, Quran menyebut tentang amanah dalam Surah al-Ahzab 33:72
“Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung. Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.”

Tanggungjawab memikul amanah ini disertai dengan kemampuan untuk menggunakan akal fikiran. Seorang Mahasiswa Muslim harus sedar akan amanah serta tanggungjawab mereka kepada Allah SWT, ibu bapa dan keluarga, masyarakat dan setiap warganegara. Mahasiswa yang mendalami ilmu bukan keagamaan seperti ilmu perubatan, pendidikan, kemanusiaan, sains teknologi, fizik, kimia, biologi dan pelbagai lagi memikul amanah menunaikan fardu kifayah umat Islam. Kita harus menguasai dengan baik ilmu yang dipelajari kerana dengan penguasaan ilmu-ilmu tersebut umat Islam akan mampu melaksanakan tugasannya sebagai khalifah di muka bumi ini.

Mahasiswa membawa amanah kedua ibu bapa untuk menjadi insan yang berguna kepada diri dan masyarakat seterusnya mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Begitu juga harapan ibu bapa agar anak mereka menjadi anak soleh yang selalu mendoakan mereka semasa hidup dan setelah kematian mereka. Menjadi mahasiswa di IPT bermaksud kita sebenarnya mewakili seluruh anggota masyarakat untuk menimba ilmu pengetahuan. Maka kita seharusnya berkongsi ilmu dengan masyarakat setempat serta menjadi ilmuan yang mampu memberi panduan dan melaksanakan pembangunan material dan kerohanian. Melihat pada konteks yang lebih besar, dari sudut ekonomi, mahasiswa juga memikul amanah daripada seluruh rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan kepada negara. Dana pendidikan yang dipinjam atau biasiswa merupakan hasil daripada cukai yang dibayar oleh rakyat kepada kerajaan Malaysia. Oleh itu, wang pinjaman tersebut perlu digunakan secara berhemah dan penuh tanggungjawab. Sebarang bentuk penyalahgunaan dalam membelanjakan wang tersebut merupakan satu pengkhianatan kepada negara!

Antara materialisme dan humanisme

“Belajar rajin-rajin, biar dapat kerja baik.”inilah pesanan yang biasa diberikan oleh ‘orang biasa’ kepada mahasiswa yang ‘biasa-biasa’ ini. Makanya, mahasiswa yang ‘biasa-biasa’ tadi menuntutlah ilmu dengan tujuan suatu hari nanti dapat mengumpul harta dengan kerja yang ‘baik’ itu. Mahasiswa, mereka menyangkakan bahawa nasib diri mereka lebih penting daripada nasib masyarakat di luar sana. Mereka menyangka bahawa menghadiri kuliah, membuat tugasan dan menjawab kuiz itu sudah cukup bagi mereka tanpa perlu memperjuangkan nasib masyarakat di luar. Bahkan juga tanpa perlu memikirkan perihal masalah masyarakat di luar sana. Sangka mereka lagi, mahasiswa ini kerja dan tujuannya hanya untuk belajar. Ternyata pemikiran ini sungguh ‘sengkek’, meleset dan salah sama sekali.

Hakikatnya, mahasiswa yang memperoleh ilmu yang tinggi dan memperalatkannya untuk kekayaan dan tidak untuk tujuan sebenarnya akan mengalami penyakit hati yang tidak terubat, keburukan dan kerugian yang menghancurkan. Mahasiswa seperti ini hanya mampu melihat sesuatu dari perspektif materialisme semata-mata, lupa perjuangan dan hakikat ber-mahasiswa yang sebenar. Ya, jika dilihat dari sudut materialisme mungkin itu sudah mencukupi tetapi jika dilihat dari sudut humanisme, ataupun seperti yang Islam anjurkan, pemikiran dan sikap sebegini ternyata salah dan tidak berperikemanusiaan. Mereka tidak dapat membawa aspirasi sebenar ‘mahasiswa sejati’ yang diidamkan semua kerana dihantui dilema antara materialisme dan humanisme.

“Wahai tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (al-Baqarah:201)

Comments

Popular posts from this blog

Tarikh ini adalah sebuah permulaan untukku..

Mengapa Melayu takut salib?