Tarikh ini adalah sebuah permulaan untukku..

Tanggal 21 Ogos 2016 merupakan tarikh yang berharga untuk aku kerana telah genap 20 tahun aku singgah di muka bumi, syukur Alhmadulillah. Sudah agak lama aku berhasrat untuk menulis blog secara serius dan kritis, tapi masa masih mencemburui aku, ataupun aku yang sebenarnya masih tidak matang dalam mengurus masa.

AHH..ketepikan itu semua, hari ini aku perlu berubah, aku ingin berubah, aku mahu jadi diriku sendiri. Benar, diriku yang sebenar itu pendiam tapi ligat dengan idea, diriku yang sebenar sangat-sangat cintakan buku dan ilmu sehinggakan lupa segalanya, hilang dalam khayalan dan kekhusyukan membaca namun, kesalnya aku tidak suka kepada bahan yang kaku (seperti subjek-subjek sains) kerana tidak menepati cita rasa diriku yang sebenar, diriku yang sebenar sangat sayang kepada keluarga sehinggakan aku berasa seperti ingin duduk di rumah semata-mata, tidak mahu meneroka alam kerana mahu menghabiskan masa bersama ibu ayah abang adik-adik -ku, diriku yang sebenar sangat pemalu dan yang paling merimaskan adalah diriku yang sebenar pantang ditegur kerana ego (ibuku selalu berpesan kepadaku akan hal ini).

Namun hakikatnya segala yang di atas tidaklah sesuai mahupun senada dengan zamanku yang penuh dengan cabaran, daya saing dan aku perlu buang segala yang keruh serta berhati-hati untuk memilih yang jernih. Ya, aku rasa itu lebih baik untukku, moga Allah permudahkan segala urusanku.

Aku sedar siapa aku dan aku sedar bahawa sudah;
20 tahun aku menumpang di bumi Tuhan yang serba indah
20 tahun aku direzkikan Tuhan segala-galanya
20 tahun aku hidup di bawah tanggungan ibu dan ayah
20 tahun aku diberi SEGALA NIKMAT yang tidak dapat kuhitung dan balas kepadaMu

Aku sudah 20 tahun namun aku masih mencari identiti diriku. Aku sudah 20 tahun namun aku masih belajar untuk membina hidupku. Berbeza sekali dengan 'Attab bin Usayd menjadi pemimpin kota Mekah pada usianya baru mencecah 17 tahun. Usamah bin zayd dijadikan ketua pasukan ke Syam pada usia 20 tahun walaupun ada yang lebih dewasa dan berpengalaman daripadanya. Zayd bin Thabit dipilih oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq untuk mengetuai projek pembukuan al-Quran ketika hanya berusia 22 tahun. Sultan Muhammad al-Fateh yang membuka kota Konstantinopal pada usia 21 tahun. Berbeza..sungguh berbeza.

Wahai Tuhan yang memiliki segala kemuliaan dan ketinggian, jadikanlah aku seorang pemuda yang sentiasa mementingkan ilmu, berani mencari kebenaran dengan menimba ilmu dan memperbaiki hasil pemikiran manusia yang terdahulu dan semasa, melaksanakan keadilan dalam pelbagai bidang dan menjadi sumber amal kebajikan bagi diri sendiri dan manusia
Jadikanlah aku, seorang pemuda acuan al-Quran dan Sunnah.

Yang berharap,
Hafeez Jirou
Mahasiswa USM

Comments

Popular posts from this blog

Bicara dari Nukilan (Minda DrMAZA) - Versi Mahasiswa USM

Mengapa Melayu takut salib?